TUMPAT: Faktor harga murah dan mudah diperoleh menyebabkan ramai golongan remaja perempuan termasuk pelajar sekolah menggunakan produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga mengakibatkan kerosakan pada kulit dan struktur muka.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata rata-rata remaja berkenaan dikesan mengalami masalah kulit muka akibat penggunaan pencuci muka dan pelembap yang mempunyai bahan terlarang.

"Lambakan produk kosmetik yang tiada kelulusan KKM ketika ini amat membimbangkan kerana pihak kami daripada Unit Sains Rekonstruktif HUSM menerima ramai pesakit yang mengalami masalah kulit muka selepas menggunakan bahan mengandungi steroid yang tinggi.

"Kita juga dapati terdapat beberapa produk kosmetik ini mudah dibeli di kedai runcit tanpa mengetahui kandungan khusus bahan yang digunakan. Biasanya produk seumpama ini dihasilkan melalui bahan 'timbang kilo' yang diperoleh dari Thailand atau Indonesia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Keselamatan Kosmetik 'Beautiful Me With Safe Cosmetics', di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Siti Fatimah berkata terdapat juga kes yang dilaporkan kepada pihaknya mengenai kewujudan beberapa klinik kecantikan yang tidak berdaftar menawarkan rawatan suntikan vitamin C bagi menghilangkan kedutan pada wajah.

"Klinik-klinik yang menawarkan rawatan seperti ini biasanya mendakwa mendapat kelayakan melakukan suntikan itu selepas beberapa bulan mendalami ilmu kecantikan di Korea atau Thailand.

"Golongan remaja perlu bijak memilih produk kecantikan dengan memastikan produk itu telah mendapat kelulusan KKM terlebih dahulu, sekiranya tidak berbuat demikian proses merawatnya amat sukar kerana besar kemungkinan akan mengalami parut kekal dan kerosakan struktur muka," katanya.

-- BERNAMA